Katil No 6

 Genre : Horror/ Mistik

KATIL No 6


Mesin ventilator berbunyi tak henti henti. Bagaikan lipas kudung kami berlari mendapatkan pesakit yang sedang berusaha mencabut tiub pernafasan.

“Patient restless! Push mida 2 dan fentanyl 2!” Arah Kak Yen, senior 5tahun dalam bidang icu. Aku yang berdiri berhampiran dengan infusion pump menjalankan seperti yang diarahkan.

Mesin masih lagi berbunyi. Kali ini diikuti bunyi mesin monitor. SPO2 pesakit turun sehingga 70%. Tidal volume pada ventilator juga tak naik naik.

“Kak, tak nak panggil doktor ke? Spo2 70% dah ni. Mungkin ett dislodged,” tanyaku.

Kak yen sebagai jururawat incas diam. Dia mencuba membenarkan kedudukan ETT lalu mengembungkan belon pada ETT.

“Ambil emergency trolley. Bawakan akak ambu bag. Kita manual bagging lepas tu suction!” Arahnya.


Ivy menarik emergency trolley sementara aku memasang sambungan oksigen ke ambu bag. Kami melaksanakan seperti yang diarahkan kak yen.

Namun tidal volume masih rendah.

“Panggil doktor!” Arah kak Yen.


Ivy mencapai gagang telefon dan menghubungi doktor bertugas. Doktor datang dengan tergesa gesa. Ada riak cemas di wajahnya.

“Bawakan c-mac!” Arah Dr Reyha.

Aku datang bersama c-mac seperti yang diminta.

“ETT dislodged. Prepare for reintubation!” Arah Dr Nad, pakar bius setelah melihat kedudukan ETT pada c-mac.


Pesakit akhirnya tenang setelah ubat bius diberikan. Dengan tangkas, kami mengeluarkan ETT lama dan memasukkan ETT baru. Setelah itu barulah keadaan tenang semula. Dr Nad menaikkan propofol hingga 10mls/jam kerana pesakit tidak terkesan dengan midazolam. Berbotol ampule noradrenaline dipecahkan untuk menyokong tekanan darah yang turun kesan daripada dos ubat bius yang tinggi.


Malam itu, kami langsung tidak tidur. Mata semua celik berjaga. Dari pukul 9 malam hingga pukul 3 pagi kerja tidak henti henti. Dari keluaran pesakit katil 5, kemasukan pesakit katil 5 semula. Masuk masuk pula terus cpr. Katil 8 pula ETT dislodged pukul 2pagi. Nasib baik katil yang aku jaga, katil 6 pesakit baik baik sahaja. Kalau tidak, naya 3 malam dapat pesakit yang teruk.

Bukan aku meminta tapi selalunya aku dan katil 6 ada sahaja masalah. Kalau pesakit tidak mati, pesakit nazak, atau ada sahajalah isu, pesakit jatuhlah. Semoga malam ni baik baik sahaja.

“Doa yang baik baik, fikir yang baik baik, cakap yang baik baik. InsyaAllah semua yang baik saja berlaku,” nasihat Kak Siti menempel di otakku.

“Saya rasa tak sedap hatilah. Macam ada je something,” kataku secara tiba tiba.

“Eh Mawar ni. Kau jangan! Kau tu dahlah manusia terjonah. Sesuailah dengan nama pada nametag kau tu Mawar J, Mawar Jonah! Kenapalah aku malam dengan ko? Tak pasal pasal aku terjonah sekali” Seloroh Kak Yen.

“Eh eh akak ni. Salahkan Mawar pulak. Entah entah akak yang bawa aura Jonah dari kampung akak,” aku balas balik. Kami semua tertawa mengenangkan nasib masing masing.


“Baru ada masa buat entry!” Kata Dr Reyha diikuti keluhan berat. Dr Reyha sudah tak terurus. Dengan rambut keluar keluar dari cap. Cap pun tinggal tak tercabut lagi. Begitu sibuk wad ICU malam ini.

“Mawar, nanti bagi MgSo4 correction 1g ye dekat patient bed 6 tu. Magnesium low lah!” Arah Dr Reyha.

“Okay, doktor. Tolong tulis dulu dekat preskribsi ubat,” kataku sambil menghulurkan fail ubatan pesakit katil 6.

Dr Reyha menulis preskribsi. Setelah memeriksa dengan Kak Yen, aku memberi ubat kepada pesakit seperti diarahkan.


“Puan Haida!” Kejutku. Puan Haida hanya berdengung. Tidur terlalu lena sehingga aku kejutkan tiga kali tapi masih tak sedar sedar. Aku memeriksa tanda nama pada pergelangan tangan lalu memberi ubat IV mgso4 dalam saline 100mls selama sejam.

Setelah sejam berlalu, mesin infusi berbunyi menandakan ubat telah habis. Aku mendekati pesakit untuk mencabut tubing dari tangannya lalu membuang botol yang telah kosong itu. Seketika badan aku rasa seram sejuk. Apalagi dengungan Puan Haida makin kuat. Dia hanya bermimpi, fikirku.

Aku kembali ke tempat dudukku untuk melengkapkan carta pemerhatian untuk jam 5pagi.


Tidak lama kemudian, juru xray datang bersama mesin xray. Aku lantas bangun dari tempat duduk dan menuju ke katil pesakit katil 6 untuk mencabut ECG lead yang menempel pada dadanya.

“Puan, puan Haida!” Aku mengejutkannya 3 kali untuk memberitahu tentang prosedur yang akan dilakukan namun tiada respon.

Aku mulai risau. Risau jika GCS (tahap kesedaran) pesakitku itu berkurang. Aku memberikan sedikit tekanan pada tengah dada atas tulang sternum sambil memanggil namanya.

Puan Haida bingkas bangun dengan mata merah dan wajah yang marah. Dia berdengung lagi namun suaranya sedikit garau seperti suara lelaki.

“Audzubillahiminashsyaitonirrojim!” Kataku. Wajah Puan Haida seperti orang kerasukan.

“BIAR DIA MATI!” Ayat itu yang keluar dari mulutnya dengan suara garau.


“Astaghfirullahal adzim!” Ucap Kak Siti.


“SPO2 tak dapat baca! Ambik face mask!” Jerit Kak Yen.


Aku berlari mengambil face mask sementara pesakitku sudah mengilai. Barangkali mentertawakan kami yang ketakutan. Bulu romaku semua berdiri namun ku gagahkan ke prosedur room untuk mengambil seperti yang diarahkan.


Doktor Reyhan datang setelah dihubungi oleh Kak Yen.

“Saya pun takut!” Kata Dr Reyhan. Siapa tidak takut, kejadian berlaku di depan mata. Suara dia mengilai sebiji macam dalam wayang hantu.


“Bagi mida,” arah Dr Nad dengan tenang.

Entah dari mana dia dapat ketenangan seperti itu ketika kami semua sudah ketakutan. Tiada yang berani memberi ubat penenang seperti diarahkan. Aku hanya membancuh ubat tersebut lalu menyerahkan kepada Dr Nad. Dr Nad memberikan ubat tidur lalu pesakit pun tertidur.


Juru Xray terpaksa pulang ketika itu. Mereka pun turut menyaksikan kejadian tersebut.


Setelah disoal selidik, pesakit memang selalu menghidap benda benda mistik seperti itu. Tidak hairan mengapa ketika aku menghubungi suaminya pada malam itu, dia hanya berkata,

“Oh! Dia memang macam tu! Nanti saya hantar air jampi!” Mahu terkekek juga aku mendengar jawapannya. Setenang tenang Dr Nad, suami Puan Haida lebih tenang. Aku dengan yang punyalah gemuruh.


Pesakit juga dirujuk kepada pakar psikiatri namun discaj pada hari itu juga kerana menurut doktor bahagian tersebut, tiada tanda tanda menandakan pesakit tidak waras.


Kami berbual bual setelah kejadian dan mentertawakan diri masing masing yang ketakutan. Dr Reyha pun bercerita, pesakit memang ada memberitahunya malam tadi, pesakit melihat ada perempuan berbaju putih berambut panjang. Bahkan kejadian sebelum itupun, ketika kejadian code blue dan team icu bergegas ke tempat kejadian, pesakit sudah mengalami hal misteri. Dia bukan sesak nafas semata mata.


Menurut pesakit, dia sudah mengalami hal itu hampir sepuluh tahun. Pernah ada kejadian di mana bayi hilang dalam kandungan. Tiada fetal kick, juga tidak dapat dikesan melalui ultrasound. Namun setelah berubat, bayi muncul semula. Dia mengatakan semua itu adalah angkara saingannya dalam bidang perniagaan. Jika benar, tak sangka manusia sanggup mempersekutukan Allah hanya kerana iri dan dengki semata mata.


Sudah berapa lama kejadian itu berlalu namun masih membekas di ingatanku. Mungkin secara kebetulan kami berhadapan dengan pesakit yang mengalami gangguan. Namun setiap penghuni katil 6 ada sahaja ceritanya. Ada juga yang pernah melihat lembaga besar hingga pesakit menjerit tengah malam meminta lampu untuk dibuka semua.

Mungkin kerana keadaan pesakit icu yang tidak baik seperti urea tinggi dalam badan hingga meracau. Namun kadangkala ia berlaku pada pesakit yang tidak mempunyai masalah metabolik seperti urea mahupun sepsis. Pernah satu ketika hingga satu icu dibacakan yasin kerana terlalu banyak hal mistik berlaku.


Ada satu pesakit, sejak kemasukannya semua terasa seram sejuk. Bahkan abang pesakit pernah menanyakan apakah pernah ada orang baru meninggal dan ya, memang ada.


Salah satu kesan pemasangan arterial line atau mana mana peripheral line akan menyebabkan thrombophelbitis namun ia jarang berlaku. Namun berlaku pada pesakit ini. Hinggakan terpaksa dilakukan prosedur embolectomy (pembuangan bahan asing seperti udara dan darah beku).

Malam itu setelah selesai embolectomy dan tangan pesakit dibalut dengan kain kasah, suasana malam seperti biasa. Aku sebagai runner pada malam itu memberi ubat seperti biasa. Dengan suara serak dia berkata, “lari! Ada setan!”. Aku sudah ketar ketir namun tidak ku hiraukan.


Tidak lama kemudian, pesakit itu menegur salah seorang kakak seniorku yang tertawa terbahak bahak kerana bergurau sesama mereka.


“Misi… jangan merancakkan dia!”

Kakak tersebut terus terdiam dan berpandangan sesama kami. Pada masa itu, kami semua rasa seram sejuk dah. Hinggakan tiada yang berani duduk berdua apalagi berseorangan. Bahkan ke tandas pun kami bersama sama.


Tiba tiba, dia memanggil lagi. Namun kali ini suaranya sangat lembut, tak seperti biasanya.

“Mi..si..”

Peliknya hanya aku dan kak Sherry yang mendengar suara itu. Kak Sherry menggenggam erat tanganku. Tangannya terasa sejuk seperti ais. Rupanya dia rasa seperti badannya di tarik dan kakinya seperti tidak menyentuh lantai.


Pesakit memandang ke arah kami dan tersenyum sambil menunjukkan lengannya yang berdarah darah. Entah bagaimana dan sejak bila dia menanggalkan kain kasah pada lengannya. Kami semua berlari mendapatkannya dan menggantikan kain kasah pada lengannya dengan kain kasah baru.


Pagi itu, semua dalam keadaan barai. Bacaan yasin oleh kanak kanak tahfiz dilakukan. Setakat ini, itulah kali terakhir kejadian aneh. Masih ada juga namun tidak sedramatik kejadian tersebut. Adapun pesakit hanya melihat sesuatu yang tidak kami lihat.


-t a m a t-

Comments

Popular posts from this blog

Ain Lam Mim

Sabr. You always have time.

The beginning of everything