Daun Jatuh di Bulan August 🍁🍂
Genre : Melodrama.
"Teratai! Buka pintu ni Teratai! TERATAI!" aku menjerit bagai nak gila. Pintu bagaikan nak pecah dek ketukanku. Aku memutar tombol pintu berkali- kali. Masih tidak bersahut.
Ikutkan hati mahu saja ku pecahkan pintu hospital itu tapi aku masih dalam keadaan waras. Misi misi di sebelahku sudah cemas. Doktor berlari setelah dipanggil oleh salah seorang misi. Seorang lagi misi datang bersama master key.
Pintu dibuka. Aku terus berlari mencapai Teratai. Di sebelahnya, ada botol ubat tidur kosong bersama kertas dengan tulisan tangan. Sempat ku baca sekilas lalu. Isi surat itu berisikan pesanan terakhir Teratai.
Aku menggenggam tangan Teratai. Sejuk. Sangat sejuk. Aku menggoncangkan badan Teratai yang diam tak berganjak. Ku lihat pergerakan dada. Tiada pergerakan pada dadanya. Nurse bertugas memeriksa spo2 Teratai. Tidak dapat dikesan. ECG menunjukkan graf mendatar. BP cuff tidak dapat mengesan kadar tekanan darah.
"Ready for intubation and CPR!" Jerit Dr Kong kepada nurse nurse di bilik itu. Seorang nurse berlari keluar mengambil emergency trolley.
Aku menekan tangan Teratai. Nadinya masih berdenyut. Denyutan agak laju dan kuat. Kemudian aku terpandang pada sesuatu yang mencurigakan. Alat- alat pengesan tanda vital itu tidak disambungkan ke mesin. Aku menghembus nafas berat. Antara rasa geram dan lega.
Nurse tadi kembali bersama emergency trolley. Mereka sudah sedia.
"No need!" Arahku. Mereka semua terdiam. "Patient DNR! DNR!" Aku mendengar bisikan para nurses sesama mereka.
"Not DNR. She is fine," ujarku sambil mengarahkan pada wayar wayar yang tidak bersambung itu.
Cepat cepat nurse incas menyambungkan wayar wayar tersebut. Barulah mesin berfungsi dengan baik.
Dr Kong menepuk kepalanya. "Kenape takde sorang pun tengok sambungan dia? Aiyoyo!". Mereka tertawa sesama mereka. Mengetawakan diri sendiri yang cemas tanpa sebab.
Aku berbisik ke telinga Teratai. "U can lie to everyone but not abang. If u not wake up, they gonna put tube into your mouth. No more red velvet cake, no more jalan- jalan. Is that what u want?".
Mendengar bisikanku, Teratai segera membuka matanya. Dan memandangku serta semua petugas kesihatan dengan perasaan bersalah.
"Look what u've done Teratai. Dorang huru hara berlari ke sana ke sini because of u. Now, say sorry to them," bisikku lagi.
"Sorry semua," bisiknya. "Teratai cuma nak perhatian abang. Abang selalu busy. Jarang jumpa abang". Muka nurses dan doktor sudah cuak tapi dipaksakan juga tersenyum. Aku tak terkesan pun dengan pandangan itu. Jika aku di tempat mereka, aku pun akan marah jika tenaga dan masaku terbuang untuk benda yang sia sia. Padahal banyak lagi pesakit lain yang perlukan jagaan dan perhatian. Tapi kali ini fokus tertumpuh pada Teratai.
Aku juga rasa serba salah terhadap semuanya. Terhadap doktor, para misi dan terutama sekali pada Teratai. Dia buat semua ni semata mata untuk menarik perhatianku. Aku terlampau sibuk dengan pekerjaanku hingga sedikit masa bersama Teratai. Aku bukan apa. Aku cuma mahu rawatan terbaik buat Teratai. Untuk itu, aku terpaksa kerja keras. Siang malam kerja tanpa henti. Dengan kerjaku sebagai jururawat hospital kerajaan dengan bisnes lagi. Hinggakan aku hanya boleh melawat Teratai ketika dia sudah tidur.
"Sorry semua. Banyak susahkan korang," kataku pada Dr Kong dan pada semua jururawat.
"It's okay. We understand," ujar Dr Kong. "But Teratai. Never do this again! U bukan saja buatkan kita orang kelam kabut but risk Wira as well. What if, Wira accident semata mata nak cepat cepat tengok u!" Nasihat Dr Kong.
"SORRY". Teratai mengembalikan kunci yang dicurinya. Setelah semua pergi, ku peluk tubuh mugil itu lalu ku kucup kepalanya yang ditutupi topi hospital bewarna biru. Air mataku mengalir.
"Maafkan abang sayang. Maafkan abang. Abang have no choice. I have to work. For u. For us. I have to make money to pay for your treatment,"
"Buat treatment pun Teratai akan mati jugak. Teratai dah penatlah. Teratai dah tak larat dah. Rambut Teratai dah botak sebab chemo tu. Bulu mata pun dah takde. Teratai rasa macam nak mati je,"
"Shh! Dont say that words, baby. Kita semua akan mati. Abang akan mati. Semua orang akan mati. Cuma cepat atau lambat je,"
"Dah tu kenapa perlu continue ubat ni jugak? Kenapa perlu buat rawatan? Kenapa abang perlu korbankan tenaga masa semua untuk rawatan bodoh ni?!"
"Teratai! Who taught u to say that word?" Aku sedikit marah mendengar perkataan "bodoh" keluar dari mulutnya. "Hidup mati kita memang dah ditakdirkan. Tapi kita kena usaha. Setelah usaha barulah boleh berserah. Jangan salahkan takdir bulat bulat bila kita diberi yang kita tidak suka lalu lupa bersyukur ketika diberi yang kita suka. Itu tidak adil buat sang Pencipta. Allah tau apa yang Allah buat. Allah takkan uji melainkan Allah tau kita mampu,"
"Tapi Teratai tak kuat..."air mata turun dari mata yang tak berbulu itu. Membasahi pipi yang kering pucat. Sekali lagi aku mendakap tubuhnya.
"صبر" bisikku.
***
"Bang Wira...Abang kan nurse. Kenapa bukan abang je yang jaga Teratai?"
"Sejak bila abang tak jaga Teratai? Sekarang pun abang masih jaga teratai. Cuma kalau nak fokus pada teratai saja, abang tak boleh sebab abang perlu tengok patient lain juga. Abang perlu kerja juga," jelasku.
"Tapi Teratai bosan. Teratai tak dapat keluar dari bilik ni? Teratai bosan la kat sini. Teratai nak sangat jalan jalan dekat taman. Nurse sini cakap, dekat dekat sini ada taman. Teratai nak sangat tengok bunga bunga dekat taman. Rindu dekat taman bunga arwah ibu,"
"Teratai tau kan kenapa Teratai tak boleh keluar?"
Dia mengangguk perlahan dengan wajah sayu. "Sebab teratai sakit. Pertahanan badan teratai lemah. Teratai senang dapat penyakit dari orang lain,"
Aku mengusap kepalanya. "Good girl!" Ucapku. Teratai memang bijak. Lihat saja strategi "kematiannya". Entah di mana dia dapatkan botol ubat tidur kosong. Dan bagaimana dia terpikir untuk melonggarkan wayar tanda vital serta menyejukkan tangannya agar spo2 tak dapat dikesan. Betapa bijaknya teratai menyusun strategi.
Hari ini, aku tidak kerja double. Aku berusaha menyiapkan kerja secepat mungkin agar dapat balik on time. Bisnesku aku serahkan sepenuhnya pada orang bawahanku. Fokusku ingin ku tumpuhkan sepenuhnya hanya pada Teratai.
Aku singgah ke kedai bunga untuk membeli beberapa bunga. Aku ingin menghiasi bilik Teratai dengan bunga agar sedikit mirip dengan kebun bunga. Namun tiada satu bunga pun yang menarik hatiku. Aku keluar kedai dengan perasaan hampa.
Satu bunga menarik perhatianku. Iaitu bunga di dalam kolam belakang kedai itu. Bunga teratai.
Tanpa berfikir panjang aku terus berkata, "saya nak beli bunga tu,"
"Tapi bunga tu kami tak jual,"
"Tapi saya nak yang itu jugak. Boleh usahakan tak supaya dapat bunga tu?"
"Cakap dengan bos kitaorang la, cik mawar," pekerja kedai bunga itu segera menghubungi bosnya dan memberikan nombor telefon bos mereka padaku.
Dengan segala pujuk rayu, aku berjaya memujuk cik mawar, untuk menjual bunga tersebut.
***
Teratai sangat diam hari itu. Tak seperti selalu. Dia bahkan tak menyapaku. Pandangannya hanya tertumpuh ke luar jendela. Melihat burung burung berkicauan.
Aku mendendangkan lagu "tunggu sekejap" nyanyian allahyarham t.s. p.ramlee. bahkan suara merduku tak menarik perhatian teratai. Masih saja dia melihat ke sana. Entah pandangan penuh khusyuk atau pandangan kosong sambil melayan isi kepala.
"Kenapa ni, baby?" Tanyaku. Teratai diam.
Aku menunjukkan bunga teratai yang ku beli tadi. "Tadaaahhh!!!"
"Ni bunga apa? Tak pernah nampak pun kat kebun ibu,"
"Teratai!" Ujarku. Teratai memandangku dengan mata yang membulat. Aku mengangguk tanda aku serius. "Teratai," ujarku lagi.
Teratai sangat suka bunga yang ku berikan padanya. Setiap kali aku datang melawat, dia akan bermain dengan bunga teratai itu. Teratai yang berdikari, tidak perlu disiram berulang kali. Ia tetap tumbuh mekar selama air bertemu akar. Teratai yang kuat, tetap teguh walau tanpa batang penguat. Teratai bunga indah.
***
"Abang...kalau teratai nak minta something dekat abang boleh? Teratai janji kalau abang tunaikan permintaan teratai, teratai takkan minta apa-apa lagi lepas ni. Ni last!"
"Minta ape?" Aku mengelus kepalanya, lembut.
"Bawa teratai keluar. Sekejap pun boleh la...please,"
"Teratai nak sangat keluar. Lama dah tak tengok dunia luar. Asyik terperuk je kat dalam ni. Please bang,"
Aku menghela nafas berat. Aku risau akan keadaan teratai. Dalam masa yang sama aku rasa kasihan. Teratai sudah tidak keluar rumah sejak 2 tahun yang lalu kerana penyakitnya. Pasti jiwanya sangat terkurung.
"Okay but not today okay. Because masa abang dah habis. Abang kena gerak gi kerja dulu. Jangan nakal nakal tau," aku mengucup kepalanya.
"Tapi abang janji kan?" Tanyanya, inginkan kepastian. Aku mengangguk laju.
Aku melangkah keluar dari ruang itu. Teratai seperti berkata sesuatu tapi aku tidak dapat dengar dengan jelas.
"Semoga esok masih ada," bisik teratai melihat bayangan Wira yang semakin menjauh. Teratai memandang bunga teratai yang terapung indah di "singgahsana"nya.
"Sepertiku, kau juga harus bebas," teratai menyentuh daunan bunga teratai dengan hujung jari telunjuknya.
***
Seperti yang dijanjikan, aku bersedia membawa teratai keluar setelah meminta izin dengan jururawat bertugas. Di awalnya mereka membantah dan menasihatkan aku untuk menunggu hingga rawatan selesai. Sebagai orang yang bekerja dalam perubatan, aku faham. Cuma, rasa simpati dan sayangku terhadap teratai melebihi segalanya. Lagipula, kawan sekolahku yang juga doktor merawat teratai menasihatkan aku untuk bersedia dengan segala kemungkinan.
Nampak sahaja wajahku di depan pintu, teratai terus mendepakan tangan. Memberi tanda ingin didukung. Aku mengangkat tubuh kecilnya lalu ku letakkan di atas kerusi roda.
"Siap?" Tanyaku. Teratai mengangguk laju.
"Mari menunju ke taman!" Arahnya.
"Menjunjung perintah, tuanku puteri!" Aku lantas menolak kerusi roda dengan sedikit kelajuan. Aku mendengar teratai tertawa bahagia. Aku tidak pernah nampak dia segembira itu. Melihatnya sebahagia itu, hatiku rasa lega. Aku telah lakukan yang seharusnya ku lakukan.
Sampai sahaja di taman, teratai mengarahkan aku untuk membawanya dekat menghampiri kolam di taman itu. Tangan teratai kemudian membuka penutup di sebalik sesuatu yang ia bawa sejak tadi. Akuarium, rumah teratai. Teratai meletakkan teratai pemberian ku ke dalam kolam itu.
"Tempat ni mungkin tak senyaman rumah asalmu tapi aku pasti ia lebih baik daripada terkurung di akuarium tu. Tumbuhlah dengan baik dan sihat, terataiku. Nikmati hidupmu selagi boleh".
Mendengar perbualan itu membuatkan aku tertawa kecil. Macam beri nasihat dekat orang padahal bunga hahaha.
"Teratai haus," katanya secara tiba tiba. Suaranya terdengar perlahan dan lemah.
"Abang belikan air ye," teratai mengangguk perlahan.
Aku bergegas berlari mendapatkan air kegemaran teratai.
Aku kembali bersama air laici susu di tangan. Di hadapanku, teratai terlelap di kerusi roda. Aku menguis tubuhnya sedikit.
"Teratai, bangun..." Kejutku.
Teratai masih diam.
"Teratai!" Kali ini aku goncang badannya sedikit keras.
Tubuh teratai menggelongsor dari kerusi roda. Hampir sahaja dia terjatuh jika aku tidak menyambutnya. "Teratai?!" Kataku lagi.
Tiada respon. Aku mendekatkan telinga ke hidungnya merasai hembusan nafas teratai sambil dua jariku ku lekapkan ke leher atasnya. No breath, no pulse. Aku menutup mata. Menghembus nafas berat.
"Innalillah wainna ilaihi rajiun".
Aku pasrah. Aku redha. Terataiku telah pergi buat selamanya. Berehatlah dengan tenang, teratai abang. Kau sudah lama berjuang. Terima kasih jadi adik yang baik buat abang, adik yang prihatin, yang sentiasa ada buat abang. Selamat jalan, adikku.
Aku merebut robotku di tangan budak kecil bermata besar itu. Budak kecil itu menangis kuat. Mahu saja ku sumbat mulutnya dengan robot di tanganku. Bingit!
Ibu berlari mendapatkan budak itu lalu mendukungnya.
"Bagilah adik pinjam mainan abang!" Marah ibu. Ah! Ibu selalu menangkan budak itu. Setiap kali bergaduh dengan budak tu, ibu selalu menangkan dia. Alasan dia masih kecil.
"Saya tak ada adik. Saya sorang je anak ibu. Budak ni anak pungut! Sebab dialah rahim ibu dibuang. Dia ni patut mati saja di perut!"
"Abang! Apa cakap adik macam tu?!" Bentak ibu. Aku tak pernah lihat ibu semarah itu. Semua gara gara budak kecil hingusan ni. Aku tak pernah suka dia. Sejak dia ada, perhatian semua orang dekat dia. Aku pula dipaksa jaga dia.
Aku membuang robot di tanganku ke muka budak itu. Budak itu menjerit lagi. Puas hati aku!
"Abang! Apa buat adik macam tu?! Kalau adik buta macam mana?! Huh?!" Ibu memukul tanganku.
"Ibu jahat! Ibu jahat! Ibu tak sayang abang!" Jeritku sambil menangis. Ibu memelukku sambil berlinangan air mata. "Maafkan ibu sayang. Lain kali jangan buat begitu dengan adik. Sayang adik. Abang hanya ada satu adik. Bila ibu tak ada nanti, adiklah yang akan temankan abang,".
Ibu menarik mukaku yang tersembam menangis di dadanya. "Tengok adik. Adik pun nangis tengok abang nangis. Sayang adik," ibu meletakkan tanganku di atas kepala teratai. Secara automatik, ku menyapu rambut teratai perlahan berulang kali.
Ibu benar. Teratailah yang jadi peneman aku ketika ibu pergi disebabkan leukemia. Teratailah jadi penguat semangat aku untuk aku jalankan tanggungjawab sebagai abang. Sebab Teratailah, aku bertekad untuk terus bekerja sebagai jururawat meskipun kerja ini mencabar kekuatan mental dan fizikal. Kini, dua perempuan hebat itu meninggalkan aku disebabkan penyakit yang sama. Aku hampir kehilangan arah. Mujur saja ku sedar, aku masih ada Allah.
Terima kasih Allah kerana telah pinjamkan dua perempuan hebat ini kepadaku. Mereka adalah amanah sekaligus anugerah buatku.
Aku menyapu batu nisan Teratai. 18 august 2022 tertera di situ. Tarikh anugerah yang dipinjamkan padaku telah diambil semula oleh Pemiliknya.
Daun jatuh berguguran ditiup angin. Sebahagian menyentuh kepalaku. Sebahagian yang lain menghiasi tanah perkuburan itu.
"Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib; tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri, dan Dia mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya (pula), dan tidak jatuh sebutir biji-pun dalam kegelapan bumi, dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfudz)" - surah al - an'am ayat 59.
Pergilah kalian. Aku juga akan menyusul. Semoga kita ditakdirkan tetap menjadi ahli keluarga di syurga kelak. Aamiin. Allahumma aamiin.
-TAMAT-

Comments
Post a Comment